Info Pendidik Guru

Info About Teaching And Learning Process
Subscribe

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN KAREEM

May 25, 2017 By: admin Category: Umum

Tazkirah : Persediaan Ramadhan

Ramadan ialah nama bagi sebuah bulan dalam bulan-bulan kiraan Islam dan sebuah kata nama dalam bahasa arab yang diambil dari kalimah “رمض” (panas membakar). Ini kerana waktu ini manusia berpuasa menahan diri dari makan dan minum sehingga kepanasan tekak kerana kehausan manakala menurut riwayat dari Mujahid ra (murid ibn Abbas ra) mengatakan bahawa Ramadan ini ialah salah satu dari nama Allah swt dan tidaklah diguna untuk makhluk (lihat takrif ramadhan dalam lisanul arab oleh Ibnu Manzur m/s 245 Jilid 4).

Ramadhan:
Bulan ini merupakan satu bulan mulia dan waktu yang merupakan khusus untuk umat Islam melakukan ibadah puasa dengan menuruti perintah Allah yang menyebut :“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu untuk berpuasa sebagaimana telah ditetapkan kepada orang-orang sebelum kamu mudah-mudahan kamu menjadi bertaqwa” (Al-Baqarah : 183).

“Bulan Ramadhan yang pada bulan itu telah kami turunkan Al-Qur’an untuk memberi pertunjuk kepada manusia dan memberi penerangan dari hidayah serta pembeza hak dan kebathilan”

“Barangsiapa yang menghadapi bulan ramadhan maka hendaklah dirinya berpuasa” (Al-Baqarah : 185).

Sesungguhnya Ramadhan merupakan bulan mulia yang menjadi salah satu dari waktu tertegaknya rukun Islam yang lima iaitu berpuasanya umat Islam pada bulan ini sebagai menunaikan kewajipan mereka kepada Allah yang Maha Esa. Diriwayatkan dari Ibn Umar ra bahawa baginda Rasulullah salallahualaihiwasalam pernah bersabda : “Terbinanya Islam itu di atas lima perkara iaitu bersyahadah bahawa tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah dan Muhammad itu sebagai rasulullah dan mendirikan solat serta mengeluarkan zakat dan menunaikan haji serta puasa di bulan ramadhan” (hadith sahih riwayat Bukhari no. 8 dan Muslim no. 16).

Bahkan bulan yang mulia ini juga diberi penghormatan oleh Allah swt dengan membersihkannya dari kewujudan dan kekotoran syaitan dan dosa seperti yang terdapat dalam hadith riwayat Abu Hurairah ra dari rasulullah yang bersabda : “Apabila tibanya bulan ramadhan maka dibukakan pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka serta dibelenggu para syaitan” (hadith sahih riwayat Bukhari no. 1899 dan Muslim no. 1079).

Juga baginda bersabda : “Barangsiapa yang berpuasa di bulan ramadhan dengan penuh keimanan dan berjaga-jaga serta keikhlasan maka diampunkan segala dosanya yang terdahulu” (hadith sahih riwayat Bukhari no. 38 dan Ibn Majah no. 1641).

Sesungguhnya bulan ramadhan ini ialah sebuah ibadah yang agung dan mulia di sisi Allah swt. Juga pada bulan ini ganjaran pahala dan kebaikan menanti hamba yang beriman yang melalui bulan dan waktu ini dengan ibadah dan keimanan yang sahih kepada Allah swt.

Mereka yang berpuasa merupakan tetamu Allah swt yang akan dilayani dengan ganjaran dan kebaikan seperti yang disebut oleh rasulullah dalam hadith Qudsi bahawa Allah berfirman : “Setiap amalan anak adam itu ialah ialah untuk dirinya sendiri kecuali puasa kerana puasa itu ialah untuk Aku (Allah) dan Akulah (Allah) yang akan memberinya ganjaran, dan puasa itu ialah pendinding..” (Hadith sahih riwayat Bukhari no. 1904 dan Muslim no. 1151).

Sesungguh para tetamu Allah di bulan ramadhan ini akan diberikan kelebihan di sisi Allah bukan hanya di dunia tetapi juga di akhirat bahkan baginda Rasulullah saw dalam sebuah hadith menyebut : “Sesungguhnya demi Yang jiwa Muhamamd itu di tangan-Nya bahawa bauan mulut mereka yang berpuasa itu di hari akhirat lebih harum di sisi Allah dari wangian misik dan bagi mereka yang berpuasa itu dua kegembiraan iaitu kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika menemui Tuhannya..” (hadith sahih Bukhari no. 1904 dan Muslim no. 1151).

Bahkan tetamu Allah di bulan ramadhan akan diberikan ganjaran besar di sisi Allah sehingga disediakan kepada mereka sebuah pintu syurga yang khusus seperti dari riwayat Sahl ibn Said ra dari baginda nabi yang bersabda: “ Sesungguhnya di syurga itu terdapat pintu yang dinamakan ar-rayyan yang dikhususkan untuk golongan yang berpuasa dan pada hari kiamat tiada yang masuk melalui pintu itu melainkan hanya golongan yang berpuasa yang akan diseru mereka itu dengan ditanya : Siapakah golongan yang berpuasa ? Lalu mereka pun bangun dan memasuki pintu tersebut dan kemudiannya ditutup setelah mereka selesai melalui pintu tersebut dan tidaklah masuk selepas itu sesiapa pun” (hadith sahih riwayat Bukhari no. 1896 dan Muslim no. 1152).

Persiapan Pertama:

Memperbetulkan aqidah dan keimanan kepada Allah swt menurut panduan yang sahih dengan memastikan kefahaman aqidah, konsep keimanan berada di landasan yang benar dan membersihkan karat-karat kesyirikkan dan kejahilan dari jiwa.“ Barangsiapa yang berbuat kebaikan sesuai dengan apa yang dihidayahkan maka sesungguhnya dia telah membuat kebaikan untuk dirinya sendiri. Dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesesatan itu merugikan dirinya sendiri.” (Al-Isra : 15).

Aqidah Yang Sahih:

Memastikan memiliki aqidah yang sahih ialah satu keperluan dan kewajipan kerana tidak diterima ibadah dan tidak bernilai ibadah yang dilakukan tanpa memiliki aqidah yang sahih. Kefahaman aqidah yang sahih ialah apa yang datang secara pasti dan yakin dari pemahaman salaf soleh yang merupakan sebaik-baik umat dan terpelihara keimanan dan keilmuan mereka serta terjamin. Sabda baginda salallahualaihiwasalam melalui riwayat Aisyah ra : “ Sebaik-baik kurun manusia ialah kurun aku berada di dalamnya dan kemudian kurun kedua (Sahabat) dan kurun ketiga (Tabi’ien)” (hadith Sahih riwayat Muslim no 1965 Jilid 2, Abu Daud no. 44 Jilid 5). “Dan tidaklah Kami mengutuskan sebelum kamu daripada rasul-rasul melainkan Kami mewahyukan kepada mereka bahwasanya tiada Tuhan selain Aku maka sembahlah Aku.” (Al-Anbiya’ : 25).

Begitulah juga seperti apa yang diperintahkan oleh rasulullah salallahualaihiwasalam kepada Muaz bin Jabal ketika diutuskan sebagai naqib (utusan rasulullah) ke Yaman untuk berdakwah di sana dengan sabdanya kepada Muaz : “Seawal-awal perkara yang hendak kamu dakwahkan kepada manusia haruslah tauhid kepada Allah.” (Hadith Sahih, riwayat Bukhari no.6937).

Sebagaimana disebut oleh Imam Abd Izz dalam kitabnya Syarah Aqidah Thahawiyah menyebutkan bahawa hendaklah setiap muslim itu berada dalam aqidah yang sahih dan tetap meninggalkan dunia dengan aqidah yang sahih juga sebagaimana sabda baginda salallahualaihiwasalam :  “Barangsiapa yang mati dalam keadaan mengetahui bahawa tiada tuhan selain Allah ( memiliki aqidah yang benar) maka sesungguhnya dia akan masuk syurga.” (Hadith Sahih, riwayat Muslim no.43 dan Ahmad 69/1).

Memahami manhaj ahlul sunnah wal jamaah menurut pegangan salaf soleh tanpa ta’wil yang jahil, tanpa mengguna akal fikiran yang lemah sebaliknya berpegang kepada keutuhan riwayat dan kesahihan pegangan salaf soleh dalam hal-hal aqidah dan keagamaan.

Demikianlah para ulama salaf soleh berpegang dan menetapkan aqidah berdasarkan dalil yang sahih sebagaimana berkatanya Imam As-Syafie ra : “Aku beriman dengan Allah atas apa yang di datangkan oleh Al-Qur’an dan Sunnah dan aku beriman kepada rasul atas apa yang dibawanya iaitu Sunnah” (lihat syarah Lumatul Iktiqad oleh Ibn Qudamah m/s 25).

Begitulah juga dengan kalam dari Imam Ahmad ra : “Kami beriman kepada Allah melalui Al-Qur’an dan as-sunnah tanpa membagaimanakan atau memperumpamakan dan kami beriman dengan apa yang datang dari rasul (sunnah)” (riwayat dari Abu Ya’la dalam Ibthal Ta’wilat lil Akhbar As-Sifat m/s 44 Jilid 1). “Apakah kamu berani mengatakan sesuatu perihal Allah tanpa ilmu?” (Al-Baqarah : 80). “Dan janganlah kamu mengikut sesuatu yang kamu tidak ketahui kerana Sesungguhnya pendengaran kamu, penglihatan kamu dan hati kamu semuanya akan ditanya dan dipersoalkan.” (Al-Isra : 36).
Membetulkan Keimanan:

Memastikan keimanan dan kelurusan hati serta keikhlasan melakukan ibadah hanya kerana Allah swt. Sesungguhnya tidaklah diterima amalan jika tidak dilakukan ikhlas semata-mata kerana Allah swt. “Dan tidaklah kamu diperintahkan melainkan untuk beribadah kepada Allah dengan ikhlas kepada-Nya melalui deen yang lurus” (Al-Baiyinah : 3).

Keimanan bahawa kewajipan puasa ramadhan dan kewajipan serta sunnah melakukan ibadah di bulan ini merupakan apa yang datang dari Allah dan rasul serta mengimani akan kebesaran Allah, mengimani kerasulan Muhammad salallahualaihiwasalam dan melakukan ibadah sesuai sebagai hamba Allah yang mengharap redha dan keampunan serta rahmat-Nya merupakan kewajipan yang perlu dilakukan oleh setiap orang sebelum memasuki bulan ramadhan. “Barangsiapa yang mengingini pertemuan dengan tuhannya maka hendaklah dia beramal soleh dan tidak mensyirikkan ibadahnya kepada tuhannya dengan sesuatu”  (Al-Kahfi : 110).

Perlu betulkan keimanan, keyakinan dan ketabahan melakukan ibadah untuk Allah swt yang Maha Esa dan meninggalkan kemaksiatan demi Allah semata-mata dan menghormati bulan ini juga semata-mata kerana keimanan kepada Allah swt.

Persediaan Kedua:

Mempersediakan diri dengan ilmu dan panduan ibadah serta puasa yang sahih dan kaedah menjalankan ibadah secara sahih.

Hendaklah sebelum memasuki ramadhan setiap orang kembali menyemak buku-buku atau menyoal para alim ulama akan kaedah puasa dan menjalankan ibadah yang sahih menurut pegangan salaf soleh dan ajaran Rasulullah salallahualaihiwasalam yang jauh dari bid’ah dan penambahan dan penyelewengan. “Bertanyalah kamu kepada orang yang mengetahui jika kamu tidak mengetahui” (An-Nahl : 43).

Hendaklah difahami tujuan beribadah itu ialah untuk mengabdikan diri kepada Allah dan hendaklah dilakukan menurut panduan yang Allah swt berikan iaitu melalui kitab Allah dan sunnah rasulullah serta apa yang dari para salaf soleh yang memahami isi panduan kedua ini menurut pemahaman yang sahih dan terjamin.

Sabda baginda Salallahualaihiwasalam : “Barangsiapa yang mengada-adakan sesuatu urusan baru dalam agama kami sedang ia bukan dari kami maka sesungguhnya ianya ditolak.” (Hadith sahih disepakati Bukhari 156 Jilid 8 & Muslim no.4467).

Tidaklah diterima amalan kebaikan dan amalan ibadah apabila ianya dilakukan dengan menyeleweng, menambah atau mengurang dari apa yang diajarkan oleh pembawa utusan kerasulan iaitu Muhammad salallahualaihiwasalam.

Persiapan Yang Ketiga

Hendaklah juga siapa yang akan menjalani bulan ramadhan mempersiapkan dirinya dengan kemampuan fizikal dan kekuatan jasadiyah serta juga material moga dapat menjalani ibadah dengan sempurna dan selesa.
“Dan bersedialah kamu dari kekuatan untuk peperangan itu apa yang kamu mampu dari kuda yang terikat moga demikian menakuti musuh Allah dan musuh kamu..” (Al-Anfal : 60).

Sekalipun ayat di atas untuk peperangan namun ianya secara umum untuk semua hal ibadah iaitu jika peperangan dan jihad itu ialah ibadah yang memerlukan persediaan kebendaan maka demikianlah juga dengan puasa yang merupakan ibadah asasi yang termasuk rukun keIslaman.

Mempersediakan diri dengan fizikal dan kekuatan badan iaitu seperti menjaga kesihatan dan menjaga badan supaya dapat mengerjakan ibadah dengan sempurna ialah satu kewajipan supaya dapat menunaikan hak kepada Allah swt dalam ibadah dengan sempurna dan selesa.

Tidaklah disukai mereka yang tidak menjaga makan dan minum serta juga tidak mengurus tidur dan rehat secukupnya sehingga mengakibatkan kerosakan badan dan melemahkan diri untuk menjalani ibadah puasa dan ibadah di bulan ramadhan dengan kukuh dan selesa bahkan terganggu waktu ibadah kerana kelemahan dan keletihan badan.

Oleh itu hendaklah melakukan persediaan secara fizikal dan badan bagi yang mampu bahkan termasuk amalan dan usaha melakukan persediaan secara fizikal seperti mengambil vitamin, melakukan senaman dan mempersediakan menghadapi ramadhan dengan menjalani terapi kesihatan sebagai usaha ibadah dan berpahala. “Tidaklah Allah membebani seseorang melainkan sekadar apa yang termampu olehnya” (Surah Al-Baqarah : 286).

Setelah itu hendaklah juga para golongan yang beriman mempersiapkan untuk menjalani ibadah puasa dengan melengkapkan diri dengan kemampuan material dan kewangan serta belanja keperluan.

Ini disebabkan supaya dapat mengambil bahagian dalam usaha infaq dan sedekah serta menunaikan kewajipan zakat di bulan ramadhan. Sesungguh golongan yang kaya dan berkemampuan harta serta material mendapat kelebihan di sisi Allah swt apabila mereka mampu menunaikan ibadah zakat dan mampu pula mengeluarkan infaq sedekah kepada fakir miskin yang mengakibatkan mereka beroleh kedudukan mulia di sisi Allah swt dan mendapat ganjaran pahala yang besar.

Bahkan disebut dalam hadith riwayat Muadz Ibn Jabal ra bahawa baginda nabi salallahualaihiwasalam pernah bersabda, “ Sedekah itu memadamkan dosa seperti air yang memadamkan api” (hadith sahih riwayat tirmidzi no. 609 dan nasaie , Ibn majah ).

Sesungguhnya tidaklah dengan sedekah itu mengurangkan harta sebagaimana sabda baginda, “tidaklah berkurang harta itu dengan sedekah” (hadith riwayat Tirmidzi).
Hendaklah umat Islam berusaha mendapatkan kedudukan untuk bersedekah dan menjadi tangan yang di atas dari tangan yang di bawah supaya dapat memperolehi ganjaran besar di sisi Allah swt. “Ambillah sedekah dari harta mereka untuk membersihkan dan menyucikan harta mereka” (At-Taubah : 103). “Mereka berkata ; kami memberikan makanan kepadamu kerana mengharapkan keredhaan Allah dan tidak kami mengharapkan kepadamu balasan dan tidak pula pujian serta tidak pula penghargaan” (Ad-Dahr : 9).
Persediaan Yang Keempat:

Mempersiapkan perancangan dan persediaan jadual akitiviti kehidupan dengan mengatur supaya dapat menjalani ibadah puasa di bulan ramadhan dan lain-lain ibadah dengan teratur dan selesa serta tanpa gangguan. “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah. Barangsiapa yang membuat demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.” (Al-Munaafiqun: 9).

Sesungguhnya Islam ialah agama yang tersusun dan teratur oleh itu hendaklah umat Islam mengatur kehidupan dan membuat perancangan ibadah di bulan puasa supaya tahu menyusun aktiviti hidup agar dapat dimanfaatkan waktu sebanyak mungkin untuk menjalani ibadah di bulan Ramadhan. “Di antara kamu ada golongan yang menginginkan dunia dan ada pula golongan yang mengingini akhirat” (Ali-Imran : 152).

Sebagai contohnya hendaklah seorang muslim itu mengatur waktu kerja, waktu rehat dan waktu aktiviti keluarga dan juga waktu ibadahnya supaya dapat memanfaatkan sebanyak mungkin masa ibadah di bulan Ramadhan.

Terutama bagi mereka yang bekerja pada waktu siang mungkin mereka boleh merancang bahawa sepanjang bulan Ramadan akan lebih banyak merehatkan diri di rumah setelah selesai kerja untuk mempersiapkan diri beribadah di waktu malam di bulan Ramadhan dan bagi mereka yang bekerja malam pula boleh merancang memperbanyakkan ibadah di waktu siang dengan menjadikan malam sebagai waktu bekerja dan petang waktu berehat.
“Sesungguhnya Allah memberi hikmah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan barangsiapa yang diberikan hikmah maka sesungguhnya dia telah mendapat kebaikan yang banyak.” (Surah Al-Baqarah : 269).

Wallahualam.

(Sumber: Ustaz Emran, http://ustaz.blogspot.com)

SELAMAT MENYAMBUT ISRAK & MIKRAJ

April 24, 2017 By: admin Category: Umum

PERISTIWA ISRAK MIKRAJ DAN IBADAH SOLAT DALAM KEHIDUPAN
بسم الله الرحمن الرحيم.

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين و على آله وصحبه اجمعين. أما بعد:

TAZKIRAH RINGKAS UNTUK MUHASABAH DIRI

Isnin 24 April 2017

Hari ini Isnin 27 Rejab bersamaan 24 April 2017, adalah tarikh yang bersejarah dalam kehidupan umat Islam, kerana pada tarikh inilah, terjadinya peristiwa besar Israk dan mikraj kepada junjungan besar kita nabi Muhammad SAW.

Pada peristiwa tersebut juga diperintahkan-Nya  syari’at solat kepada Rasulullah SAW untuk dilaksanakan oleh umatnya sebanyak 5 waktu sehari semalam.

Allah SWT berfirman dalam Al-Quran:

وَأَقِمِ الصَّلَاةَ طَرَفَيِ النَّهَارِ وَزُلَفًا مِّنَ اللَّيْلِ إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ ذَٰلِكَ ذِكْرَىٰ لِلذَّاكِرِينَ

“Dan dirikanlah solat (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat
(Q.S Huud: 114)

Dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman:

اتْلُ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ وَأَقِمِ الصَّلَاةَ إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ

“Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan”. ( Q.S al-ankabuut: 45).

Dua ayat Al-Quran di atas memberi pengertian yang jelas tentang pentingnya menjaga waktu solat  serta kesan solat dalam kehidupan untuk mencegah  perbuatan keji dan mungkar.

Solat dalam ajaran Islam, memiliki kedudukan  istimewa berbanding  dengan syariat yang lainnya, di antaranya:

  1. Solat adalah satu-satunya syariat yang diterima Nabi SAW secara langsung daripada Allah SWT.
  2. Solat adalah satu-satunya syariat yang diturunkan di langit bukan di bumi.
  3. Solat adalah satu-satunya syariat yang pertama diturunkan di kota Makkah.
  4. Solat adalah satu-satunya suruhan yang paling banyak disebutkan dalam al-Qur’an.
  5. Solat adalah syariat yang paling banyak dilakukan umat Islam dalam hidup berbanding dengan syariat yang lainnya.
  6. Solat adalah syariat yang diwajibkan lebih awal pada semua peringkat umur (usia) untuk dilaksanakan. Dianjurkan pada umur kanak-kanak 7 tahun belajar solat dan pada usia meningkat 10 tahun dipukul jika meninggalkan solat.
  7. Solat adalah syariat yang tidak boleh ditinggalkan dalam apa juga keadaan, (selagi ada nyawa di kandung badan dan selagi ada nafas di kerongkong) melainkan yang dibenarkan oleh syariat jika ada keuzuran pada syarak.
  8. Solat adalah ibadah yang membezakan antara Islam dan kafirnya manusia.
  9. Solat adalah ibadah yang diwasiatkan oleh Rasulullah saw sebelum baginda wafat.
  10. Solat adalah soalan yang pertama akan ditanyakan Allah SWT kelak pada hari akhirat.

Daripada sebahagian kelebihan solat di atas, wahai saudara-saudaraku sekalian, marilah kita menjaga solat kita dengan 6 perkara:

  1. Jangan kita mudah meninggalkan solat.
  2. Jangan kita melambat-lambatkan waktu solat dengan kesibukan kerja dan alasan duniawi.
  3. Jangan kita melakukan solat di rumah, sebaiknya kerjakan di masjid atau surau.
  4. Jangan kita mengerjakan solat bersendirian, akan tetapi kerjakanlah dengan berjamaah.
  5. Tambahkan solat-solat sunat dalam kehidupan kita seharian terutamanya pada sepertiga malam seperti solat-solat yang amat dianjurkan kita melaksnakannya iaitu solat-solat tahajut, solat tasbih, solat taubat, solat hajat, solat witir dan sebagainya.
  6. Laksanakanlah solat dengan hati yang penuh dengan kekhusyukan.

 

Ya ALLAH !!! Jadikanlah kami hamba-hamba-Mu yg dapat Istiqamah dalam melaksanakan segala perintah Mu serta berikanlah kekuatan kepada kami untuk sentiasa dapat Istiqamah dalam melaksanakan Ibadah solat semata-mata kerana Mu Ya Allah.

Jauhkanlah kami daripada meninggalkan dan melalaikan ibadah solat dalam hidup kami dengan kesibukan kerja serta kesibukan duniawi. Kurniakanlah kepada zuriat keturunan kami ya Allah untuk dapat menjaga ibadah solat tersebut dengan baik dalam hidup dan kehidupan mereka. Aamiinn ya Rabbal  ‘Aalamiin !!!!!

Wallahu a’lam.
Doakan istiqamah serta Sihat wal Afiat
Wassalam.
(Sumber: Ustaz Sihabuddin Muhaemin)

 

Catatan:
Sila kongsikan kebaikan dengan sesama manusia
ILMU ITU MILIK ALLAH SWT.
Mudah-mudahan bermanfaat untuk semua.
Insya-Allah !
Semoga solat kita selama ini diterima Allah SWT.
Semoga pelaksanaan solat kita tahun ini lebih baik daripada tahun sebelumnya.

SELAMAT MENYAMBUT ISRA’MIK’RAJ

Semoga Allah merahmati kita , mengampuni segala dosa-dosa kita , memberi kesihatan yANg baik, dimurahkan rezeki dan dipermudahkan segala urusan….
آمِيّنْ..آمِيّنْ..آمِّيْنَ يَا رَبَّ الْعَالَمِيْن

Insya Allah !
amaljaya.

 

 

Perkongsian Info Penting & Menarik Dari Group Whatsaap

April 12, 2017 By: admin Category: Umum

MESEJ DISEBALIK USIA

Semakin berusia semakin lemah tangan menggenggam..kerana Allah sedang mendidik kita agar melepaskan cinta dunia.

Semakin berusia semakin kabur matanya… Kerana Allah sedang menggilap mata hati untuk celik melihat akhirat.

Semakin berusia semakin sensitif….kerana Allah sedang mengajar bahawa pautan hati dengan makhluk sentiasa menghampakan namun hati yang berpaut kepada Allah, tiada pernah mengecewakan.

Semakin berusia semakin gugur gigi-giginya….kerana Allah sedang mengingatkan bahawa suatu hari kita akan gugur kedalam tanah selamanya.

Semakin berusia semakin ditarik nikmat kekuatan tulang dan sendi….kerana Allah sedang mengingatkan bahawa tak lama lagi nyawanya akan ditarik.

Semakin berusia semakin rambut putih….kerana Allah sedang ingatkan kain kapan yang putih.

Begitu juga hati…semakin berusia semakin sepi dan ingin bersendirian…kerana Allah sedang mendidik kita untuk melepaskan cinta manusia.

Akhirnya …hanya cinta Allah yang kekal sebagai bekalan menuju akhirat.

Didoakan semoga kita semua;

● Diberkati usia
● Dimurahkan rezeki
● Ditetapkan keimanan
● Dikurniakan pemikiran dan pertimbangan yang terbaik
● Kesihatan yang baik
● Berjaya di dunia & akhirat
● Sentiasa mendapat rahmat dariNya

Amiin ya Robbal alamin.

Perkongsian Info Penting & Menarik Dari Group Whatsaap

April 02, 2017 By: admin Category: Umum

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-47: KELEBIHAN DAN AMALAN DALAM BULAN REJAB

Soalan:

Apakah terdapat kelebihan atau amalan tertentu (khusus) dalam Bulan Rejab berdasarkan pendapat para ulama’?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Kelebihan bulan Rejab

Di sini kami nyatakan beberapa pendapat para ulama’ berkaitan kelebihan bulan Rejab, Antaranya ialah:

• Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: “Tidak ada disebut di dalam hadith yang sahih (yang boleh dibuat hujjah) akan kelebihan bulan Rejab, berpuasa padanya, berpuasa daripadanya disebabkan sesuatu perkara yang tertentu dan solat yang khusus”. [Tabyin al-‘Ajab, 9]

• Imam Ibn al-Qayyim mengatakan: “Setiap hadith yang menyebut berkaitan puasa di bulan Rejab dan solat pada malam-malam tertentu di dalam bulan tersebut adalah satu pendustaan yang direka”. [al-Manar al-Munif, 96]

• Imam al-Syaukani pula berkata: “Tidak ada disebut berkaitan amalan pada bulan Rejab secara khusus di dalam sunnah yang sahih, juga yang hasan dan juga yang dhaif (dhaif ringan). Bahkan, kesemua yang diriwayatkan berkaitannya secara khusus adalah palsu lagi dusta dan teramat dhaif”. [al-Sail al-Jarrar, 297]

• Imam Ibn Rejab berkata: “Tidak ada yang sahih pada kelebihan berpuasa di bulan Rejab yang khusus daripada Nabi SAW dan juga tidak ada yang khusus daripada sahabat Baginda SAW”. [Faidh al-Qadhir, 4:210]

Tarjih

Setelah kami melihat dan menekuni pendapat para ulama’ dalam masalah ini, kami cenderung untuk mengatakan bahawa bulan Rejab tidak mempunyai apa-apa kelebihan yang khusus daripada hadith-hadith yang sahih seperti amal ibadat tertentu. Walaupun begitu, ini tidak menghalang seseorang itu untuk melaksanakan amalan seperti berpuasa, solat sunat, bersedeqah dan lain-lain lagi dengan syarat tidak beri’tiqad (mempercayai) bahawa amalan ini mempunyai kelebihan-kelebihan yang khusus atau tertentu. Ini kerana, bulan Rejab termasuk di dalam bulan-bulan haram yang mana diketahui akan kelebihan bulan-bulan haram berbanding bulan-bulan yang lain.

Penutup

Sempena kemasukan bulan Rejab ini, marilah sama-sama kita mempertingkatkan amalan baik kita dan semoga Allah SWT sentiasa memberi kita taufiq dan hidayah-Nya dalam setiap amalan yang kita lakukan agar ia tidak bercanggah dengan al-Qur’an dan juga sunnah Rasulullah SAW. Amin.

Pautan ke laman rasmi PMWP: http://goo.gl/ebzfdL

Perkongsian Info Menarik Dari Group Whatsaap

April 02, 2017 By: admin Category: Umum

JANGAN TERPEDAYA DENGAN PAKEJ HAJI

Kuala Lumpur, 28 Mac 2017 – Lembaga Tabung Haji (TH) ingin menasihati orang ramai untuk berwaspada dan tidak terpengaruh dengan mana-mana maklumat dalam hal-hal berkaitan tawaran haji dan pakej haji seperti isu yang menular baru-baru ini menerusi media sosial.

Bagi musim haji 1438H/2017, TH telah meluluskan 20 buah syarikat pelancongan tempatan yang dikenali sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) untuk menawarkan perkhidmatan pakej haji. TH tidak pernah melantik mana-mana individu perseorangan untuk menjadi perantara/orang tengah/agen dalam hal-hal berkaitan tawaran haji dan pakej haji.

Bakal-bakal haji yang telah menerima surat tawaran menunaikan haji pada tahun ini dan berhasrat menggunakan perkhidmatan pakej haji adalah dinasihatkan untuk menggunakan perkhidmatan pakej haji yang disediakan oleh PJH yang dilesenkan oleh TH sahaja.

TH ingin menegaskan bahawa mana-mana individu atau agensi pelancongan yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa memperoleh lesen PJH daripada TH adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Senarai PJH yang menerima lesen daripada TH boleh didapati dari mana-mana Pejabat Cawangan TH atau dengan melayari laman sesawang (www.tabunghaji.com) atau seperti dibawah.

1. TH Travels & Services Sdn. Bhd.
2. Alif Travel & Tours Sdn. Bhd,.
3. Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd.
4. Ash-Har Travel & Tours Sdn. Bhd.
5. Batuta Travel & Tours Sdn. Bhd.
6. C. S. Holidays Sdn. Bhd.
7. Citra Travel & Tours Sdn. Bhd.
8. Felda Travel Sdn. Bhd.
9. Gemilang Travel and Tours Sdn. Bhd.
10. Misbah Travel & Tours Sdn. Bhd.
11. Masamas Travel & Tours Sdn. Bhd.
12. MKM Ticketing Travel & Tours Sdn. Bhd.
13. Platinum Gesture Travel & Tours Sdn. Bhd.
14. Rayhar Travels Sdn. Bhd.
15. Syarikat Pelancungan Yaskin Sdn. Bhd.
16. TM Tours & Travel Sdn. Bhd.
17. Touch Me Travel & Tours Sdn. Bhd.
18. Utas Travel & Tours Worldwide Holidays Sdn. Bhd.
19. Wira Saujana Travels & Tours Sdn. Bhd.
20. Zahafiz Travel & Tours Sdn. Bhd.

Untuk sebarang pertanyaan berkaitan perkhidmatan TH, orang ramai boleh menghubungi talian Khidmat Pelanggan (THCC) TH di 03-6207 1919.

Perkongsian Info Menarik Dari Group Whatsaap

April 02, 2017 By: admin Category: Umum

Turkey News.

Berikut ini adalah catatan perjalanan Ketua Umum BAZNAS Dr. KH. Didin Hafidhuddin, M.Sc saat mengunjungi Turki.

Cerita yang mengagumkan bukan tentang gemerlapan kota Istambul yang jelas terlihat dari pesawat apabila melintasi Eropah, atau para wanitanya yang berwajah cantik, tapi tentang kehidupan beragama yang semakin pesat luar biasa.

Turki benar-benar berubah 180 darjah sejak dipimpin Presiden Erdogan.

Hal yang sangat menakjubkan adalah suasana keagamaan rakyat Turki yang begitu hebat.
Sekarang masjid-masjid sangat ramai dengan pemuda yang beribadah dan juga kegiatan keislaman. TERUTAMA yang paling mengagumkan adalah ketika waktu SOLAT SUBUH datang, masjid di Turki sangat penuh sesak dengan jamaah yang didominasi KAUM MUDA , suasana yang mirip dengan solat Jumaat di Malaysia.

Dr. Didin mengingat kembali ketika dirinya berkunjung ke Turki sekitar tahun 1990-an, masa itu Turki masih sangat sekular.
Jangankan waktu solat subuh, azan Maghrib pun tidak ada yang pergi solat berjamaah.

“Saat itu saya solat hanya dengan isteri dan anak, sebab tiada jamaah setempat yang datang.” jelas Dr Didin.

Luar biasa dan yang lebih istimewa ialah para remaja Turki berbondong-bondong ke masjid utk solat berjamaah.

Selain tingkat keagamaan masyarakat Turki yang menjadi lebih baik, suasana ekonomi Turki pada masa ini juga sangat berkembang pesat. Tanpa bantuan pinjaman luar negara. pemerintah Turki sanggup membangun, membuat perubahan signifikan dan mampu bersaing dengan negara maju dunia.

Peringkat ekonomi Turki melonjak ketara sekali dari kedudukan ke-111 menjadi ke-16 dunia, sehingga saat ini Turki masuk daftar 20 negara kuat (G20).

Pendapatan perkapita penduduk pun naik dari $3500 USD (2003)..
menjadi $11000 USD (2013).. dan terus melonjak.

Pemerintah Turki sebelumnya serius mencanangkan 3 Program Nasional iaitu:

1⃣ Gerakan Solat Subuh berjamaah di Masjid.
2⃣ Gerakan Infaq dan Sedekah.
3⃣ Gerakan Ekonomi Umat.

❤ Program GERAKAN solat SUBUH berjamaah di MASJID memperoleh sambutan luar biasa dari masyarakat, dengan hasil membanggakan.

Solat subuh menjadi sangat ramai seperti solat jumaat di Malaysia. Tentu saja keberkatan solat subuh berjamaah mendapatkan hasil di luar jangkaan, dibuktikan dengan bantuan atas segala kesulitan yg dihadapi Turki yang sebenarnya tidak mudah, apatah lagi negara2 Eropah beberapa tahun lalu menderita krisis ekonomi.

Bagaimana pula situasi kita di Malaysia.. ?! Masih sibuk memonton drama televisyen di waktu Maghrib, yang kita tahu selang waktu Maghrib dan Isyak itu sebaik baik waktu membaca Al-Quran, berzikir mendengar tazkirah dan kuliah-kuliah agama di surau dan masjid, sedangkan 12 juta rakyat kita leka di hadapan tv menonton drama.
Rakyat Malaysia juga sibuk dengan program realiti yang mengetengahkan ank2 muda melalak dgn pelbagai hiburan yg melalaikan.

Bila lagi negara yang berpenduduk majoriti Muslim ini menjadi negara yang tingkat keagamaan yang tinggi.. ?!
Semoga tak lama lagi.

Tolong disebarkan agar banyak muslimin mengambil manfaat, ibrah/pelajaran serta hikmah dari fenomena menarik ini.

❤ Jangan lupa bagikan info ini… agar semua MUSLIM MALAYSIA TERGERAK hatinya untuk melaksanakan SUBUH berjamaah di MASJID atau SURAU,
karena Allah sendiri yang menjamin kehidupan orang-orang yang mahu bergegas solat berjama’ah.
Dan solat yang PALING BERAT adalah solat SUBUH berjamaah di MASJID dan SURAU…